YAU MOU GAU...CHOR!! (有冇搞..错!!): Projek jambatan bermula -- Dijangka siap 2011 rancakkan pembangunan wilayah utara – PM

Monday, November 13, 2006

Projek jambatan bermula -- Dijangka siap 2011 rancakkan pembangunan wilayah utara – PM



NIBONG TEBAL 12 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, tanda bermulanya satu daripada tiga projek besar infrastruktur di Pulau Pinang yang akan memesatkan lagi pembangunan negeri ini dan negeri-negeri lain di utara Semenanjung.

Projek bernilai RM3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu akan memberi peluang kepada 200 subkontraktor tempatan untuk mendapat tawaran kontrak kerja-kerja pembinaan yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat ini.

Pembinaan jambatan yang mempunyai seni bina futuristik itu juga membuka peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 anak tempatan dalam kerja-kerja pembinaan di Batu Kawan, Seberang Prai sahaja.

Pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah pembinaan jambatan itu di Batu Kawan di sini, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan negeri dan kontraktor bahawa beliau akan memantau sendiri perkembangan projek jambatan kedua dan akan meninjau tapak pembinaannya apabila beliau melawat Pulau Pinang.

“Saya akan pantau. Saya kerap balik Pulau Pinang, setiap kali balik Pulau Pinang saya akan lawat kawasan ini untuk melihat apa yang berlaku,” tegasnya.

Dengan bermulanya pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang sepanjang 24 kilometer yang dijangka siap pada 2011 itu, Pulau Pinang akan mempunyai dua jambatan yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar Semenanjung.

Jambatan pertama Pulau Pinang yang ada sekarang sepanjang 13.5 kilometer siap dibina pada tahun 1985 dan menelan belanja RM850 juta. Jambatan kedua itu terletak kira-kira 30 kilometer di selatan jambatan pertama.

Pada majlis pecah tanah Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang hari ini, Perdana Menteri menekan butang jentera yang memasang cerucuk pertama Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang sambil disaksikan kira-kira 5,000 orang tetamu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin; Pengerusi Kumpulan UEM, Datuk Abu Hassan Kendut serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM, Datuk Ahmad Pardas Senin.

Selain Jambatan Pulau Pinang bernilai RM3 bilion, dua lagi projek besar di negeri ini yang akan dilaksanakan di bawah RMK-9 ialah monorel dan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).

Abdullah berkata, beliau mahu memberi tumpuan penuh kepada projek jambatan itu bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual dan dibuka kepada pengguna pada 2011.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri memberitahu, beliau memberi penekanan itu memandangkan projek berkenaan memerlukan perhatian penuh dan kerjasama daripada semua pihak.

“Hari ini membuktikan bahawa apa yang kita rancangkan selama ini untuk membina jambatan kedua Pulau Pinang bukan janji-janji kosong, tetapi kita memastikan bahawa apa yang kita rancang akan kita laksanakan. Ini adalah janji BN (Barisan Nasional),” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kontraktor-kontraktor yang terlibat dalam projek itu tidak bersikap sambil lewa yang boleh menyebabkan projek berkenaan terlewat dan seterusnya meningkatkan kos pembinaan.

“Semua kontraktor, kecil atau besar, mesti memastikan mereka memberikan yang terbaik. Jangan dilengah-lengahkan, jangan disebabkan kelemahan dan kelewatan subkontraktor, maka projek juga terlewat.

“Saya juga hendak pihak (Tan Sri Dr. Koh) Tsu Koon pastikan segala keperluan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk apa saja keputusan berkaitan dengan jambatan ini mesti diluluskan dengan segera.

“Ia mesti berada pada landasan yang cepat. Kelewatan bermakna membawa kerugian. Kos akan meningkat terutamanya jika ia melibatkan wang yang terpaksa dipinjam atau daripada punca-punca yang mengenakan faedah bagi pinjaman, ini kita harap tidak akan berlaku,” tegasnya.

Abdullah juga berharap Kumpulan UEM yang dipertanggungjawabkan membina jambatan itu berdasarkan kemampuannya membina Jambatan Pulau Pinang akan dapat memberi peluang dan mengagihkannya kepada subkontraktor tempatan secara adil.

Menurut Perdana Menteri, jambatan kedua itu bukan hanya akan memberi faedah kepada Pulau Pinang tetapi membantu pembangunan wilayah utara dan memperkukuhkan peranan negeri itu sebagai hab pengangkutan.

Katanya, banyak barang akan diangkut menggunakan jambatan baru itu serta jambatan sedia ada ke Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

“Pembangunan wilayah utara dijangka rancak dan memerlukan fasiliti seperti ini.

“Bagi kawasan utara, untuk membina satu pelabuhan lain pada masa ini tidak diperlukan, untuk membina satu lapangan terbang yang besar pun bukanlah diperlukan pada waktu ini. Kita hendak gunakan apa juga kemudahan yang kita ada dan besarkannya dan tinggikan kecekapan dan keupayaannya,” kata Perdana Menteri.

Menurutnya, wilayah utara sebelum ini memberi tumpuan kepada projek-projek berkaitan pertanian menyebabkan pembangunan di kawasan itu tidak serancak dan sehebat Lembah Klang mahupun Lembah Kinta.

Bagaimanapun, katanya, kini kerajaan mahu wilayah utara turut menikmati kemajuan bukan hanya daripada industri kecil dan sederhana yang berkaitan pertanian, tetapi turut mengekalkan kawasan-kawasan perindustrian teknologi tinggi seperti di Bayan Lepas, Taman Teknologi Kulim dan industri permotoran di Gurun dan Bertam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Free Website Counters
Free Website Counters © Copyright 2005-2008 SEE FU. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten, or redistributed.