YAU MOU GAU...CHOR!! (有冇搞..错!!): Proton jawab Mahathir -- Jual MV Agusta elak syarikat terheret masalah kewangan - Mohd. Azlan

Saturday, June 17, 2006

Proton jawab Mahathir -- Jual MV Agusta elak syarikat terheret masalah kewangan - Mohd. Azlan

SHAH ALAM 16 Jun - Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini sekali lagi menjelaskan bahawa penjualan MV Agusta Motor SpA terpaksa dilakukan bagi mengelakkan Proton turut terheret ke dalam masalah kewangan syarikat motosikal berprestasi tinggi itu.

Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Azlan Hashim berkata, penjelasan itu diulangi bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Mohd. Azlan berkata, Proton telah memberikan penjelasan terperinci mengenai isu pelupusan kepentingannya dalam MV Agusta pada Mac lalu, selain isu perubahan pengurusan pada Julai 2005.

Namun demikian, katanya, persoalan mengenai kedua-dua isu tersebut terus diperkatakan berikutan wujudnya apa yang disifatkan sebagai ‘spekulasi tanpa maklumat penuh' mengenainya.

Tambahnya, ia juga disebabkan oleh keengganan sesetengah pihak untuk menerima penjelasan yang telah diberikan itu.

Menurut Mohd. Azlan, beliau telah banyak kali berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir tetapi gagal kerana kesibukan bekas Perdana Menteri itu.

“Malah, kami juga telah menjemput Dr. Mahathir ke acara pelancaran Satria Neo tetapi beliau mengutus surat memberitahu tidak dapat datang kerana ada urusan lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Proton Satria Neo oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Dr. Mahathir sebelum ini mempersoalkan keputusan menjual 57.75 peratus kepentingan Proton dalam MV Agusta pada harga nominal 1 Euro (RM4.57), Mac lalu.

Bekas Perdana Menteri mendesak Proton dan kerajaan memberikan jawapan kenapa kepentingan itu dijual sebegitu murah kepada sebuah syarikat Itali tanpa melalui sebarang proses tender.

Dr. Mahathir juga menuntut agar Proton memberikan sebab kenapa usaha untuk memaksimumkan nilai MV Agusta tidak dilakukan sebelum ia dijual.

Selain itu, beliau turut mengkritik Lembaga Pengarah Proton kerana menyingkirkan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff daripada jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Kepentingan dalam MV Agusta dibeli semasa Tengku Mahaleel menerajui Proton dan Dr. Mahathir masih Perdana Menteri dengan harga 70 juta Euro (RM315 juta) pada Disember 2004.

Proton kemudiannya terpaksa menyediakan peruntukan khas yang menjadikan keseluruhan pertimbangan pembelian MV Agusta bernilai RM367.6 juta.

Ia kemudiannya dijual kepada GEVI SpA, sebuah syarikat kewangan di Itali yang turut mengambil alih hutang MV Agusta sebanyak 107 juta Euro (RM481.5 juta).

Mohd. Azlan berkata, keseluruhan pertimbangan pembelian dianggap sebagai goodwill dan dilupuskan dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2005.

Katanya, peruntukan tambahan berkaitan Agusta dalam penyata tahun kewangan berakhir 31 Mac 2006 berjumlah RM136.2 juta.

“Kita telah mendapatkan nasihat daripada perunding bebas dan bank pelaburan - MV Agusta berkemungkinan jatuh bankrap.

“Jika MV Agusta bankrap, Proton akan jatuh sama dengan menanggung liabiliti berjumlah RM923.1 juta,'' katanya.

Mengenai dakwaan Dr. Mahathir bahawa Dasar Automotif Negara (DAN) menjadikan Proton kurang berdaya saing, Pengarah Urusan Proton, Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir berkata: “DAN telah memberi penjelasan mengenai arah tuju ke hadapan.

“Untuk tempoh lima tahun lagi, kita tahu apa yang hendak dibuat dan strategi boleh disusun,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Azlan menolak kenyataan Tengku Mahaleel bahawa MV Agusta akan mempelbagaikan aliran perolehan dan mengurangkan kebergantungan Proton kepada pasaran kereta negara ini yang semakin sengit persaingannya.

Katanya, Agusta menanggung kerugian selama lebih enam tahun iaitu sebanyak 118 juta Euro (RM531 juta) sehingga 31 Disember 2005.

Mengenai dakwaan pemilikan MV Agusta itu bertujuan membantu Proton mencapai sinergi operasi, kejuruteraan dan teknologi, Mohd. Azlan berkata, sinergi seumpamanya tidak wujud.

“Ia disahkan oleh penasihat yang dilantik syarikat. Proton mengeluarkan kereta tetapi MV Agusta mengeluarkan motosikal berprestasi tinggi.

Mohd. Azlan berkata, MV Agusta bukan seperti Honda yang memiliki perniagaan motosikal dan kereta, sebaliknya adalah motosikal untuk pasaran khusus dan mahal.

Mengenai penyingkiran Tengku Mahaleel, beliau berkata, Lembaga Pengarah Proton semasa bersidang pada 25 Julai 2005 memutuskan untuk tidak memperbaharui tempoh perkhidmatan beliau.

“Maka, bekas CEO itu bersara dan bercuti sehingga genap tempoh tamat perkhidmatannya. Ini sememangnya di dalam bidang kuasa syarikat dan Lembaga Pengarah,'' katanya.

Mohd. Azlan turut menyatakan bahawa Proton adalah aset nasional dan sebuah institusi, bukannya satu entiti milik peribadi.

Maka itu, ujarnya, adalah mustahak Lembaga Pengarah bertindak proaktif bagi memastikan Proton diurus sewajarnya dan bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.

“Tiada sesiapa secara perseorangan boleh menerima pujian sehingga Proton berdiri teguh. Orang datang dan pergi kerana itulah sifat pengurus yang profesional,'' katanya.

“Perubahan pengurusan di syarikat korporat adalah perkara biasa. Ini bukan syarikat milik keluarga. Warga Proton telah menerima perubahan dan begitu juga industri automotif,'' katanya.

Ditanya sama ada kedudukan Dr. Mahathir sebagai penasihat akan dikaji semula, Mohd. Azlan berkata: “Tidak pernah terlintas di fikiran untuk mengkaji semula atau menamatkan jawatannya kerana Dr. Mahathir adalah penasihat kami.''

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Free Website Counters
Free Website Counters © Copyright 2005-2008 SEE FU. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten, or redistributed.