YAU MOU GAU...CHOR!! (有冇搞..错!!): Dell tarik balik 4.1 juta bateri lithium Sony

Saturday, August 19, 2006

Dell tarik balik 4.1 juta bateri lithium Sony


BIMBANG RISIKO: Penarikan balik
bateri lithium berikutan masalah
kepanasan dan boleh berdepan
risiko mudah terbakar.


Beberapa komputer notebook disambar api di Illinois Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu lalu


DELL Inc (Dell), pengeluar komputer peribadi terbesar di dunia akan menarik balik 4.1 juta bateri lithium-ion keluaran Sony Corp (Sony) yang digunakan dalam komputer notebook Dell berikutan masalah kepanasan dan boleh berdepan risiko mudah terbakar.

Langkah menarik balik bateri itu dianggap adalah yang terbesar membabitkan produk elektronik yang dibuat Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Dell dalam satu kenyataan berkata, penarikan balik bateri komputer notebook adalah atas dasar sukarela daripada syarikat itu.

Katanya lagi, Dell menyediakan bateri itu dengan komputer notebook sebagai sebahagian daripada penggantian khidmat dan sebagai unit individu mulai 1 April 2004 hingga 18 Julai 2006.

“Walaupun ia jarang berlaku kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang berpunca daripada litar pintas sehingga boleh menyebabkan bateri itu berdepan masalah kepanasan dan berlakunya risiko kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan di Dallas, baru-baru ini.

Antara bateri yang terbabit dengan proses penarikan balik itu adalah bagi model latitude, Inspiron, XPS dan notebook precision mobile workstation.

Sehubungan itu, Dell sedang merancang untuk melancarkan laman web bagi mengumumkan kepada pengguna menjelaskan model yang terbabit dengan proses itu dan cara untuk mendapatkan bateri gantian baru.

Dell berkata, pelanggan boleh mendapatkan penjelasan sama ada model yang dimiliki mereka terbabit dengan proses penukaran itu berdasarkan nombor pengenalan yang terdapat di pelekat putih bateri apabila menghubungi syarikat itu nanti.

Katanya, pemilik komputer notebook bagi model yang terbabit dengan proses penukaran itu boleh mengeluarkan baterinya dan hanya menggunakan sistem sambungan elektrik secara terus sehingga memperoleh bateri baru.

Tambahnya lagi, Dell juga tidak menjangkakan langkah penarikan balik bateri itu akan memberi kesan kepada operasi, kedudukan kewangan atau aliran wang tunai syarikat.

Sementara itu, Jurucakap Sony, Rick Clancy berkata, syarikat itu sudah mengkaji masalah yang timbul selepas memperoleh aduan membabitkan kebakaran terhadap komputer notebook Dell itu.

Katanya, Sony juga akan membantu Dell dalam menanggung kos pembayaran penarikan balik bateri untuk model terbabit, tetapi tidak dinyatakan jumlah yang diperuntukkan bagi tujuan itu.

Dell juga mengesahkan berlakunya kejadian komputer notebook disambar api di Illinois, AS untuk tempoh dua minggu lalu dan laporan lain juga diperoleh dari negara seperti Jepun dan Singapura.

INFO: Model terbabit

  • Dell Latitude
    D410, D500, D505, D510, D520, D600, D610, D620, D800 dan D810

  • Dell Inspiron
    6000, 8500, 8600, 9100, 9200, 9300, 500m, 510m, 600m, 6400, E1505, 700m, 710m, 9400 dan E1705

  • Dell Precision
    M20, M60, M70 dan M90 mobile workstation

  • Dell XPS
    XPS, XPS Gen2, XPS M170 dan XPS M1710
  • 0 Comments:

    Post a Comment

    << Home

    Free Website Counters
    Free Website Counters © Copyright 2005-2008 SEE FU. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten, or redistributed.