YAU MOU GAU...CHOR!! (有冇搞..错!!): Muszaphar, Faiz calon akhir angkasawan pertama negara Malaysia

Tuesday, September 05, 2006

Muszaphar, Faiz calon akhir angkasawan pertama negara Malaysia


SEPANG 4 Sept. – Pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan pegawai pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kapten Dr. Faiz Khaleed dipilih sebagai calon angkasawan negara untuk mengikuti latihan di Rusia selama 12 bulan.

Hanya seorang daripada mereka akan mengikuti ekspedisi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2 September 2007 - dua hari selepas negara menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaannya.

Pemilihan mereka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang KL, di sini hari ini.

Dr. Sheikh Muszaphar, 34, yang masih bujang, berkelulusan ijazah perubatan MBBS dan penuntut tahun akhir sarjana Surgeri Ortopedik di UKM, sementara Dr. Faiz, 26, pula memiliki ijazah sarjana muda pergigian akan menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Rusia mulai hujung bulan ini.

Di situ mereka akan menjalani latihan sebelum seorang daripada mereka dipilih untuk ke angkasa lepas.

Latihan profesional yang akan mereka jalani di Rusia ini akan melayakkan mereka menjadi angkasawan profesional dan membolehkan mereka menyertai program yang dianjurkan Amerika Syarikat atau negara Eropah lain.

Angkasawan pertama negara dijadual berlepas ke ISS bagi program penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk penyelidikan kanser dan bioteknologi.

Calon berjaya akan berlepas dengan pesawat Soyuz 2 Rusia yang akan bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Di situ, angkasawan negara akan berada enam hingga lapan hari dengan melaksanakan aktiviti penyelidikan sains, teknologi dan industri Malaysia, sebelum pulang ke bumi.

Pada 27 April lalu mereka bersama dua lagi calon ke peringkat akhir pemilihan angkasawan negara - juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Mohamed Faiz Kamaluddin, 34, dan jurutera yang juga calon wanita tunggal, S. Vanajah, 35, telah berlepas ke Moscow, Rusia untuk menjalani ujian di Agensi Angkasa Rusia (RSA)

Bagaimanapun Mohamed Faiz dan Vanajah tidak dipilih kerana Mohamed Faiz gagal dalam ujian perubatan sementara Vanajah pula mengalami tekanan ketika ujian daya tindakan graviti yang dijalankan di situ.

Ketika mengumumkan calon angkasawan negara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia berjaya mengorak langkah baru dengan membuktikan kemampuan untuk menghantar angkasawan ke angkasa lepas.

‘‘Ini adalah satu detik penting dalam sejarah. Kerajaan dan seluruh rakyat mengucapkan tahniah dan syabas kepada mereka yang terpilih dalam usaha memartabatkan nama negara di pesada dunia.

‘‘Daripada 10,000 pemohon dan melalui tapisan ketat, panel pemilihan angkasawan sebulat suara memilih kedua-duanya untuk menjalani latihan di Rusia,’’ katanya.


Dilancarkan

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, setelah perbincangan dijalankan dengan Rusia dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, tarikh yang diputuskan untuk angkasawan pertama negara berlepas ialah 2 September tahun depan.

Katanya, ia merupakan tarikh yang bersejarah kerana Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-50 pada tahun itu dan dua hari selepas itu, negara akan mencipta sejarah dengan menghantar rakyat Malaysia ke angkasa lepas.

‘‘Ia juga merupakan tarikh di mana hubungan diplomatik antara Malaysia dan Rusia mencapai 40 tahun dan pada tarikh itu juga, genap 50 tahun kapal angkasa pertama dilancarkan ke angkasa lepas,’’ katanya.

Menurutnya, sama ada Dr. Sheikh Muszaphar atau Dr. Faiz yang dipilih akan ditentukan di peringkat akhir dan Pengerusi Panel Pemilihan Calon Angkasawan Negara, Tun Mohamed Hanif Omar akan terlibat hingga ke akhir sebelum pelancaran ke angkasa lepas.

Sementara itu Mohamed Hanif memberitahu, pada mulanya Dr. Sheikh Muszaphar dan Mohammed Faiz merupakan dua calon yang dipilih namun disebabkan Mohamed Faiz tidak melepasi ujian perubatan maka tempatnya diganti oleh Dr. Faiz

Jelasnya, biarpun Dr. Faiz adalah calon simpanan, kedua-duanya mempunyai peluang seimbang dan mereka akan menjalani latihan yang sama di Rusia kelak.

Program angkasawan negara ini adalah timbal balas Kerajaan Rusia-Malaysia yang membabitkan pembelian 18 jet pejuang jenis Sukhoi SU-30MKM bernilai AS$1 bilion (kira-kira RM3.4 bilion), dengan kerajaan Rusia menawarkan tempat untuk seorang angkasawan Malaysia menyertai ekspedisi angkasawan Rusia ke ISS.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Free Website Counters
Free Website Counters © Copyright 2005-2008 SEE FU. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten, or redistributed.